BAHASA Melayu
sejak lebih daripada satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa besar.
Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa
perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan
Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar
abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan
sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa
diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan,
bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi.
Sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:
``Bahasa mereka, bahasa Melayu,
bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh
kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami
di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau
Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant.
Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya
tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti
di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan
kepulauan Filipina.''
Kebitaraan
bahasa Melayu pada abad 16 dan 17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa
bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan
kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan
sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan bahasa sastera.
Kelunturan martabat bahasa
Melayu
Martabat bahasa Melayu
dilunturkan oleh penjajah (Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia)
dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa
perhubungan luas menjadi bahasa setempat atau bahasa vernakular yang
disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan sehari-hari dan lebih
untuk lingkungan masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan Inggeris, bahasa
Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa oleh Inggeris untuk
kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya bahasa
penghantar di sekolah vernakular Melayu, sama halnya dengan bahasa Cina di
sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di sekolah vernakular India.
Dalam bidang
bahasa dan pendidikan, terang bahawa bahasa Melayu hanya menjadi bahasa
penghantar sekolah Melayu yang terbatas pula jangkauan bidang ilmu dan
kemahirannya. Hal ini direncanakan dengan cukup kemas oleh penjajah Inggeris,
semata-mata untuk menutup kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai bangsa
berwibawa dan dengan demikian berupaya membebaskan negara daripada cengkaman
penjajahan.
Selama hampir
setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah
satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi iaitu sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Sebagai bahasa ilmu, bahasa
Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila
sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan,
tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta
keeksklusifan bahasa penghantar ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa
Inggeris.
Namun, apabila
ada tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana
bidang-bidang utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka
martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran
bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan
Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan
Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah
satu tonggak pembinaan negara.
Walau bagaimanapun dengan
adanya tantangan-tantangan semasa, bahasa Melayu mengalami kemerosotan dalam
dua aspek, iaitu aspek taraf dan mutunya.
Kemerosotan
dalam aspek taraf bermaksud penyempitan penggunaan bahasa Melayu dalam
bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang. Sebagai
contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran
dan pendidikan.
Kemerosotan
dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota
masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu
rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran
dan pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena
bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa
sembang di Internet dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi
menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya
tinggi.
Demikian juga,
semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena
penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat
pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya
precinct, parcel dan boulevard).
Senario kini tentang kedudukan
bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu dalam kalangan
sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu
yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa
rasmi dan bahasa ilmu.
Rosmarida
Othman