Melaka amat dikenali
kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara, putera
raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit
pada akhir abad ke-14.
Setelah
ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik
yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh
penjajah dari Siam, pada tahun 1396, baginda dan pengikut-pengikutnya
mengudurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di
Bertam iaitu berdekatan dengan muara Sungai Melaka.
Setelah
tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing buruannya ditendang oleh seekor
pelanduk putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut
dan membuat keputusan untuk membuka negeri itu.
Baginda
telah bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya
memberitahu bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah
membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.
Pilihan
Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik.
Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negeri China
ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat
perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari
Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan enterpot yang
sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun.
Parameswara
yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414
telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan
perkembangan agama Islam yang terulung di rantau ini. Melaka terus terkenal
sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur.
Antara
barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari
China, kain dari Gurjerat dan Coromandel di India, kapur barus dari Borneo,
cendana dari Timur, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada
hitam dari Sumatera serta timah dari Tanakh Melayu.
MUHAMMAD EHSAN BIN
RADUAN