Sebuah Kisah...
SEHELAI demi sehelai majalah itu Amin belek. Bila tiba ke hujung kulit, Amin pergi menonton televisyen, tiada cerita menarik. Bosan! Tiada apa yang hendak dilakukan semasa cuti sekolah ini. Ayah ibunya terlalu sibuk dengan kerja. Kakak dan abangnya masing-masing berada di kolej dan bekerja. Sebagai anak bongsu, dia sangat bosan hanya tinggal dengan pembantu rumah. Lalu dia teringat kawannya, Johan semalam mengajaknya menonton wayang, lantas menghubunginya untuk keluar.
Hari demi
hari, begitulah aktiviti Amin. Keluar pun sudah pandai hingga lewat malam.
Tiada siapa pun hendak marah dan pantau. Ayah ibu pun pulang lewat malam.
Kadang-kadang kedua-duanya terpaksa ke luar daerah, meninggalkan Amin yang
disangka mereka sudah besar dan pandai menjaga diri.
Sehinggalah
Amin sudah berani mengunjungi tempat-tempat yang tidak sepatutnya dia kunjungi
dan terjebak dengan perkara-perkara yang kurang baik. Apa yang nak ditakutkan,
tiada siapa yang sedar akan perbuatannya, dan dia merasakan dia bebas melakukan
apa sahaja.
SEBAHAGIAN
remaja kini amat mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang kurang baik dan
cenderung untuk mengikut contoh-contoh yang membawa kepada kerosakan diri dan
akhlak.
Kisah
seperti Amin di atas yang kekurangan perhatian kedua-dua ibu bapanya menjadikan
Amin seorang yang sangat mudah terpengaruh dengan ajakan rakan sebayanya dan
pengaruh sekeliling.
Rakan sebaya
dijadikan tempat untuk meluahkan perasaan, meluangkan masa bersama-sama serta
secara tidak langsung, menjadi sumber teladan yang paling hampir dengan mereka.
Selalunya remaja cenderung untuk melawan tradisi dan persekitaran yang
mengongkong mereka. Perkara yang kurang baik dan negatif mudah diikuti,
manakala perkara yang baik senang sahaja ditolak mentah-mentah dan dicemuh.
Zaman
kanak-kanak dan remaja adalah tempoh yang sangat kritikal dan penting dalam
pembentukan tingkah laku dan perangai. Naluri suka meniru, berkawan, ingin tahu
yang ada pada mereka menyebabkan anak mudah terikut-ikut dengan apa yang ada di
sekitarnya. Jika yang mempengaruhi itu adalah hal baik maka ia akan berguna
kepada diri remaja tersebut. Jika anak dibiarkan dalam keadaan kelompangan hati
dan kekosongan teladan, pengaruh buruk mudah menjadi ikutan. Jika keadaan ini
berterusan, kerapuhan jiwa dan minda mudah terjadi.
Terdapat
kini sebahagian anak-anak, terutamanya remaja gagal mengenal dan membezakan
sesuatu yang berguna atau sebaliknya kerana bimbingan tidak diberi pada tahap
awal kehidupannya. Jiwa dan minda mereka menjadi rapuh kerana banyak faktor.
Ketidakprihatinan
ibu bapa terhadap pembesaran rohani dan emosi anak-anak mereka antara lain
menyebabkan kepada permasalahan ini. Kebanyakan ibu bapa kini bertungkus lumus
untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa, makanan yang mencukupi serta
keperluan asas untuk keluarga, tetapi lupa untuk meluangkan masa untuk
anak-anak mereka.
Anak-anak
muda yang tidak tahu untuk mengurus kesunyian dan kelompongan jiwa akan mudah
mencari teman yang lebih memahami jiwa dan perasaan mereka.
Peringkat
awal pembesaran bayi, mereka diberi suntikan imunisasi sebagai langkah
pencegahan daripada penyakit untuk menjamin kesihatan jasmani yang mudah
terdedah kepada penyakit cacar, Hepetitis B, dan sebagainya.
Apabila kekebalan jasmani
sudah ada, maka penyakit dapat dicegah. Begitu juga dengan pendidikan emosi
anak-anak terutamanya remaja.
Ibu bapa
perlu bukan sahaja menitikberatkan aspek jasmani, tetapi juga perlu mengisi
jiwa anak-anak dengan amalan rohaniah dan bimbingan agama. Ini akan menjadi
bekalan kepada diri remaja supaya lebih teguh menghadapi cabaran dan
anasir-anasir yang kurang baik.
Selain itu,
konsep berkeluarga dan kehidupan yang bakal mereka lalui apabila dewasa kadang
kala tidak diperjelaskan dengan baik oleh ibu bapa. Kebanyakan ibu bapa pula
tidak memberikan pedoman yang betul kepada anak remaja mereka tentang apa yang
bakal mereka tempuhi apabila dewasa dan kepentingan untuk mempunyai cita-cita
dan visi hidup. Ada ibu bapa yang menasihatkan anak-anak untuk berjaya, tetapi
tidak pernah mengambil berat tentang prestasi akademik dan kemajuan diri anak
mereka di sekolah.
Membina
Kekebalan Remaja
Islam
menganjurkan pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati. Pada hari
ini, pendekatan mengatasi masalah generasi muda lebih banyak kepada pendekatan
natijah terakhir (end result). Bila kerosakan sudah banyak berlaku, tidak
banyak yang boleh dilakukan. Bila ketagihan dadah, rokok atau minuman keras
mula bertapak ia menjadi agak payah untuk diubati.
Pencegahan bermakna
memberi asas kekebalan pada hati dan pemikiran menerusi asuhan dan teladan.
Kekebalan jiwa dan pemikiran anak perlu dilakukan menerusi semaian kasih
sayang, membina keyakinan dengan asas maklumat dan pengetahuan mudah difahami,
ajaran mengenai nilai, adab dan kesantunan supaya anak dengan kelaziman dan
kebiasaan baik dapat membezakan sesuatu yang berfaedah atau sebaliknya.
Pengaruh
media cetak dan elektronik memberi kesan kepada generasi muda. Apa ditonton dan
dibaca membentuk jalan berfikir dan bertindak, kecuali kesedaran awal
membezakan sesuatu itu baik atau buruk diberi.
Lazimnya
pengaruh persekitaran berlaku sepanjang masa. Anak yang aktif fizikal dan
pemikirannya mudah terpengaruh dengan sesuatu diminati dan disukainya tanpa
banyak berfikir akibatnya. Keseronokan sering menjadi faktor yang mendorong
perlakuan dan tabiat.
Untuk
mengubahnya bukanlah satu hal yang mudah. Jika pendekatan pencegahan dibuat
pada peringkat awal ia boleh menjadi benteng dalam menghadapi perlakuan
negatif.
Selalunya
pendekatan pencegahan dilakukan dengan memberi nasihat keagamaan dan
menggalakkan mereka mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Pendekatan ini hanya berkesan dan dapat dijadikan amalan sekiranya ia dilakukan
menerusi teladan. Rasional harus diberitahu kepada mereka mengapa amalan baik
itu patut berlaku kepada mereka. Interaksi seumpama ini penting dan dilakukan
secara fitrah iaitu menerusi kasih sayang, belaian, didikan, tunjuk-ajar dan
teladan.
Justeru,
kekebalan hati dan pemikiran perlu dipupuk dengan asas teladan, contoh dan
maklumat yang sesuai dengan umur dan pengalaman hidup anak. Proses ini harus
berlaku berterusan supaya keremajaan dan kedewasaannya nanti memiliki kekebalan
yang tinggi serta mampu untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
Kesimpulan
Anak-anak,
terutamanya remaja perlu dibimbing dengan didikan agama dan pelajaran hidup
yang baik. Teladan dan contoh ikutan menjadi asas yang sangat penting kepada
remaja supaya dapat meneladani perbuatan dan tingkah laku yang baik dan
berakhlak.
Kedatangan
maklumat dan pendedahan kepada persekitaran perlu diwaspadai bagi mengelakkan
anasir-anasir yang rapuh menjengah ke dalam diri remaja. Namun, pada masa sama,
remaja juga harus bertindak bijak serta tidak mengikut perasaan dalam bertindak
sebaliknya harus mampu untuk berfikir serta merujuk kepada orang yang lebih tua
apabila mengalami kebuntuan atau permasalahan.
Nur Azura Bt. Awang
PISMP BM