Sudah beberapa kali saya, sebagai Sasterawan
Negara, dan juga sebagai penulis puisi dan kritikan dalam bahasa Inggeris,
diminta untuk menyatakan pandangan tentang penggunaan bahasa Inggeris dalam
mata pelajaran matematik dan sains. Izinkan kami menyampaikan beberapa
pandangan yang telah saya hablurkan selama berpuluh tahun membawa ke dua-dua
bahasa ini ke dalam jiwa dan kehidupan saya.
Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat
komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya
cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan
budaya Melayu / Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam
semua jenis sastera - lisan dan tulisan. Dengan memberi tempat yang lebih
dominan kepada bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terdinamik maka kita
merampas kemungkinan bahasa kebangsaan kita untuk menjadi bahasa besar dan
serba-boleh. Sementara itu kita diingatkan kepada suatu kajian oleh Open University
di London yang meramal bahawa dalam 30 tahun bahasa Melayu akan menjadi bahasa
keempat terbesar di dunia. Oleh itu menjadi tanggungjawab kitalah dewasa ini
untuk memupuk bahasa yang tua lagi indah ini supaya bila sampai pada waktunya
bahasa ini sudah benar-benar menjadi bahasa dunia.
Di sebaliknya kajian ini juga mendapat bahawa
bahasa Inggeris tidak akan lagi menjadi bahasa pertama di dunia, malah hanya
mendapat tempat bahasa ketiga, iaitu selepas Mandarin dan Sepanyol.
Berikut ialah di antara hujah mengapa bahasa
Melayu harus kembali dijadikan bahasa matematik dan sains di sekolah dan
universiti;
1.Tujuan pencapaian penguasaan bahasa Inggeris
di sekolah-sekolah di Malaysia boleh dibaiki dengan kaedah mengajar yang lebih
baik dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Sekiranya kita merujuk kepada
pengalaman negara Belanda maka kita akan temui contoh bagaimana bahasa
Inggeris, Perancis dan Jerman hanya diperkenalkan pada peringkat sekolah
menengah.
Tetapi oleh kerana cara pengajaran yang baik
dan berkesan, maka selepas sekolah menengah pelajar-pelajar ini sudah boleh
bercakap dan menulis dalam bahasa-bahasa ini dengan baik - lebih baik daripada
pelajar Malaysia bercakap bahasa Inggeris (walau pun setelah 11 atau 13 tahun).
Kita juga mungkin perlu merujuk kepada model pengajaran bahasa dari Denmark,
Sweden dan Norway yang bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri tetapi dapat
menggunakan bahasa antarabangsa lainnya dengan baik. Jadi contoh kita
seharusnya bukan Singapura, tetapi Scandinavia, Belanda dan Belgium mahupun
Switzerland.
2. Seperti sering diulang penghujah Pemenang
Anugerah Nobel dalam semua bidang, termasuk sastera, bukan saja datang dari
negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak daripadanya daripada
negara bukan berbahasa Inggeris - seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol,
Switzerland dan India / Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa
Inggeris tetapi ilmu yang baru, wawasan kemanusiaan dan eksperimen yang penuh
tekun dan berterusan pula. Suasana ilmu adalah faktor penting yang menggerakkan
mereka kepada kejayaan peringkat tinggi.
3. Beberapa masalah negara kita bukan
berpuncakkan penguasaan bahasa Inggeris yang kurang cekap, tetapi kepada budaya
kerja yang tidak rapi dan disiplin yang tidak ketat. Terdapat banyak negeri
yang pernah dijajah Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa di
sekolah tetapi nampaknya agak kucar-kacir pentadbiran serta ekonomi dan
ilmunya. Di sebaliknya di Malaysia Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi serta
ilmu.
4. Sekiranya kita tidak kembalikan bahasa
Melayu kepada semua bidang ilmu maka kita, terutama kerajaan BN, akan dituduh
sejarah sebagai pemusnah bahasa Melayu, sebuah bahasa yang lama dulu menjadi
lingua franca daerah Asia tenggara dan untuk beberapa dekad lepas kemerdekaan
bangkit dan kuat semula, hinggalah diturunkan darjatnya kerana arahan supaya
menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang lebih penting, kerana
bidang-bidang terpilih diajar dalam bahasa ini.
5. Dengan keputusan ini dan penggunaan bahasa
Inggeris untuk bidang-bidang terpilih dewasa ini maka dengan sendirinya kita
telah menciptakan dua jenis warganegara Malaysia - yang pertama; menguasai
bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua,
warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains
sosial - iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah
darjatnya.
6. Saya menyokong dasar yang membuka mata dan
ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemas kini. Saya tidak
membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin
mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajar. Namun untuk
perkembangan budaya dan jati diri bangsa Malaysia kita perlu mempunyai sebuah
bahasa persatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat
Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda
pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.
Dalam bandingan dengan warganegara Thailand
atau Indonesia, rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaannya, tidak
bangga dengan budayanya dan tidak jelas jati dirinya. Sebabnya, antara lainnya,
ialah bahawa sastera dan budaya tidak menjadi mata pelajaran penting.
Bersama pengajaran bahasa Melayu yang teratur
dan rapi pelajar harus diperkenalkan kepada karya-karya penting sastera Melayu
di peringkat sekolah rendah dan menengah secara wajib. Inilah yang dilakukan di
semua negara Anglo-saxon, Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea. Hanya di
Malaysia anak-anak (dan sekarang ini orang dewasa) tidak pernah mengenali atau
membaca karya agung leluhur mereka seperti Sulalatus al-Salatin, Hikayat Hang
Tuah atau Tuhfat al-Nafis, yang banyak melukis bangsa Melayu / Malaysia,
nilai-nilainya dan juga jati dirinya.
7. Sekarang ini bahasa Melayu sedang melemah
di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di peringkat negara, media masa dan
kehidupan secara amnya. Sekiranya bahasa ini tidak diberikan ruang untuk hidup
dalam dunia dan disiplin baru dan mencabar , dengan sendirinya bahasa Inggeris
akan masuk menjajah kembali, dan kita kan menjadi tidak lebih dari pengguna dan
peminjam bahasa dan konsep-konsep yang tersimpan dalam bahasa itu. Sementara
itu konsep-konsep tempatan, keindahannya, muziknya akan hilang dari bangsa
Melayu yang diamanahkan untuk mewarisinya.
Banyak lagi hujah yang dapat saya tuliskan.
Tetapi hujah-hujah yang telah diturunkan ini, saya rasa mencukupi untuk
kesempatan ini. Saya amat berharap bahawa bahasa kebangsaan kita akan kembali
diberikan martabat ilmu, makna jati diri dan budayanya, seperti selayaknya
sebuah bahasa besar dan tua.
Sesuatu bangsa yang tidak menghormati bahasanya biasanya tidak dihormati oleh bangsa lain yang menghormati bahasanya sendiri.
FARAH LIANA BINTI ABU BAKAR
PISMP BM