Bahasa merupakan alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa seseorang itu dapat berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, buah fikiran, pengetahuan, mendapatkan informasi, menambahkan ilmu pengetahuan, memahami orang lain dan sebagainya (Raminah Hj. Sabran, 1993). Pembelajaran bahasa secara formalnya berlaku di sekolah. Oleh itu, guru-guru bahasa Melayu memainkan peranan yang utama bagi memastikan murid-murid di sekolah dapat mempelajari bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.
Kepentingan terhadap penguasaan bahasa lebih ketara dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa digunakan dalam interaksi lisan antara guru dengan murid. Hal ini jelas dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia (Melayu) sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Banyak aktiviti dan kemahiran yang menekankan aspek-aspek kemahiran bahasa dalam sukatan pelajaran. Perkara ini diberi tumpuan utama bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran bahasa Melayu iaitu membolehkan murid-murid mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
Oleh :
Mohd Nor Azmi Muhamad