Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa (Bahasa). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa (Bahasa). Papar semua catatan

Isnin, November 12, 2012

Program Lestarikan Bahasa Melayu di IPG

Program Lestarikan Bahasa Melayu di IPG

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

KUALA LIPIS 6 Nov. - Kajian Tindakan oleh guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) di sini dalam bidang sosiolinguistik terhadap dialek tempatan termasuk etnik Orang Asli dapat meningkatkan pemahaman mereka dengan kehidupan masyarakat itu.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman berkata, kajian yang sedang dilaksanakan itu turut membuktikan peranan bahasa Melayu sejak abad ke-13 tersebar luas sehingga ke Madagascar, Selatan Afrika, Asia Tengah dan Asia Tenggara.

Menurut beliau, di negara ini bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa kebangsaan sekali gus mengiktiraf bahasa itu sebagai bahasa ilmu.

"Hal ini bukan sahaja diletakkan di bahu Dewan Bahasa dan Pustaka DBP dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tetapi semua institusi pendidikan guru (IPG) wajar meneruskan kajian bahasa tersebut menerusi semua cabang linguistik untuk melengkapkan bidang pengajian mereka," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamad Shahrum, wacana ilmu berasaskan pemantapan dan penggunaan bahasa Melayu perlu dilestarikan di semua IPG selain mengangkat sastera Melayu yang kini berdepan dengan era ledakan telekomunikasi bersifat global.

"Saya tertarik dengan peranan IPGKTAA Lipis dan kerajaan negeri sentiasa memberi peluang dan bantuan bagi memartabatkan kajian bahasa Melayu dan mengangkat kesarjanaan para pensyarah serta guru pelatih dalam bidang berkenaan," ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, Oktober 06, 2012

Utamakan Bahasa Melayu!

Utamakan Bahasa Melayu!





KKenyataan Akhbar Presiden Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk]

Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] mengucap syabas dan tahniah kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abd. Kadir kerana bertindak tegas dalam mendaulatkan bahasa Melayu di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sebagaimana siaran akhbar Utusan Malaysia, 7 Julai 2011 yang menyebut;

"Kerajaan negeri mengarahkan MPKK mengutamakan bahasa Melayu dalam pemberian nama projek-projek yang dibangunkan di bandar tersebut."

Beliau juga menegaskan bahawa nama yang diguna-pakai pada tempat tumpuan ramai atau papan tanda hendaklah mengambil-kira kedudukan dan taraf Kuala Kangsar sebagai Bandar Di Raja.

Isu ini timbul apabila orang ramai mempertikaikan tindakan MPKK menggunakan nama "Riverfront Kuala Kangsar" bagi mempromosi destinasi pelancongan baru berhampiran Sayong. MPKK dilihat cuba mempertahankan tindakannya walaupun menerima bantahan ramai. Desakan NGO serta badan-badan penulis tidak diendahkan sebaliknya MPKK menyalahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lambat menterjemahkan "Riverfront Kuala Kangsar" ke bahasa Melayu.

Dalam hubungan ini, Karyawan Pk mengesyurkan agar MPKK mengambil-guna nama klasik Kampong Sayong iaitu "Lam Sayong" yang dicadangkan oleh Pengarang terkenal anak Perak, Dato' Mokhtar Petah untuk dijadikan nama tebingan Sungai Perak itu dan tidak perlu diterjemahkan. Justeru "Riverfront Kuala Kangsar" dicadangkan menjadi "Tebing Lam Sayong". Nama itu walaupun kelihatan tidak komersial tetapi mengandungi unsur sejarah dan jati diri Kuala Kangsar sebagai Bandar Di Raja bagi negeri Perak.

Apatah lagi Kuala Kangsar terkenal dengan "Labu Sayong" akan dilengkapi pula nama tebingan Sungai Perak dengan "Lam Sayong" menimbulkan daya tarikan tersendiri bagi pelancong untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam.

Dalam pada itu, menyentuh tentang arahan Menteri Besar Perak, MPKK dan semua berkuasa tempatan supaya mengutamakan bahasa Melayu di setiap premis termasuk nama jalan adalah tindakan yang kena pada masanya. Karyawan Pk mengambil kesempatan merujuk cadangannya ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) agar nama Jalan Caldwell ditukar kepada Jalan Pawang Ana telah ditolak oleh majlis tersebut tanpa sebarang alasan.

Karyawan Pk berharap MBI menimbangkan semula cadangan tersebut selaras dengan arahan Menteri Besar. Pihak kami sedia berbincang kerana alasan dan rasionaliti telah dikemukakan kepada MBI merupakan sebahagian resolusi Seminar Pemikiran Pawang Ana yang telah diadakan pada 25 Oktober tahun lalu dan dirasmikan oleh Dato' Zainol Fadzi Paharudin, Exco Kerajaan Perak.

Untuk makluman Pawang Ana adalah tokoh penglipur lara negara berasal dari Perak. Karya yang tuturkannya telah dibukukan oleh R.O Winstedt (seorang pentadbir Inggeris) dalam tempoh 1906 hingga 1914 ketika pegawai Inggeris itu bertugas di Perak. Sebanyak lima buah karya Pawang Ana telah diiktiraf sebagai karya Agung kesusasteraan Melayu dan dikategorikan sebagai karya klasik bermutu tinggi. Antaranya ialah Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Dewa.

-Hj. Zabidin Hj Ismail

Tarikh: 7 Julai 2011






Siti Normazilla Mah Hussin



MENJULANG BAHASA MELAYU, MEMARTABATKAN BANGSA

MENJULANG BAHASA MELAYU, MEMARTABATKAN BANGSA







Bahasa adalah satu-satunya entiti yang boleh digunakan untuk mencapai pelbagai tujuan dan antaranya bahasa boleh dijadikan wahana mengungkapkan sesuatu kebudayaan, penanda identiti sesebuah kelompok etnik dan kuasa untuk penyatuan politik sesebuah negara. Apatah lagi, negara Malaysia dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang mempunyai bahasa dan budayanya yang tersendiri.

Namun, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran baru-baru ini yang mengatakan bahawa bahasa Melayu kian terpinggir di bumi sendiri kerana sikap malu dan rendah diri masyarakat untuk bertutur menggunakan bahasa Melayu nyata menimbulkan polemik baharu.

            Polemik terbaharu ini seolah-olah menggambarkan bahawa bahasa Melayu tidak ada kelas, bukan bahasa yang maju seperti bahasa Inggeris dan tidak boleh diangkat ke peringkat global. Kempen “Cintai Bahasa Kita”, “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Bahasa Menunjukkan Bangsa” dan seumpamanya yang diadakan oleh kerajaan seperti tidak membawa sebarang impak yang diingini.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Tuan Zubaidi Abas ketika diminta mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bukan orang Melayu atau masyarakat negara ini malu untuk bertutur bahasa Melayu tetapi mereka malu apabila dilihat tidak pandai berbahasa Inggeris. Ini kerana, mereka mahu dilihat sebagai orang bandar, moden dan terpelajar.

Tambah beliau, mengenai cadangan Muhyiddin untuk menganjurkan semua majlis rasmi negara di semua peringkat dalam bahasa Melayu boleh dilakukan tetapi tidak tercatat dalam Perlembagaan negara ini. Keadaan ini berbeza dengan negara Indonesia yang mewajibkan Presidennya bertutur dalam Bahasa Indonesia tidak kira di mana beliau berada.

Justeru, menyedari akan pentingnya mengangkat bahasa Melayu di mata dunia, maka Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengadakan Program Pembudayaan Bahasa yang dilancarkan baharu-baharu ini. Program ini yang antara lainnya bertujuan memastikan tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara berlaku dalam kuantiti yang banyak dan kualiti yang baik tidak kira dalam sektor awam mahupun swasta dilihat sebagai satu langkah tepat dan kena pada masanya.

Bagi Zubaidi pula, usaha mengangkat bahasa Melayu ini adalah murni tetapi kejayaan langkah ini bergantung kepada iltizam politik iaitu harus disusuli dengan tindakan yang jitu dan bukan sekadar cakap kosong sahaja.


Rabiatul Adawiyah Mohd Nor

Mempertahankan Nilai Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

Mempertahankan Nilai Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu




Oleh:DR. HASSAN AHMAD
 
BAHASA penting dalam segala aspek kehidupan manusia, masyarakat dan negara. Inilah sebabnya mengapa bahasa - tidak kira bahasa apa pun - menarik minat pelbagai golongan pengkaji dan pemikir, tidak hanya ahli bahasa.
Ahli bahasa deskriptif hanya tertarik untuk mengkaji dan menghuraikan sistem linguistik bahasa itu, mengkaji peraturan tatabahasanya dan sistem fonologinya tetapi kurang memberikan perhatian terhadap fungsi atau budaya dan nilai sosial bahasa itu.

Pakar-pakar sosiolinguistik pula mengkaji tentang fungsi sosial bahasa. Tentang bagaimana bahasa digunakan hari-hari dalam masyarakat dan bagaimana manusia membentuk makna berdasarkan konteks sosialnya.
Dalam budaya Melayu, misalnya, terdapat fenomena bahasa budaya yang diungkapkan dalam bentuk kata-kata `budi bahasa'. Orang yang dikatakan `tidak tahu bahasa' bererti orang itu tidak pandai berbudi bahasa, yakni tidak mengetahui adat berbahasa menurut konteks sosialnya.

Bahasa juga boleh dikaji dari segi psikologi. Ahli psikolinguistik (atau ahli psikologi bahasa) mahu tahu apakah proses yang berlaku dalam minda atau otak manusia apabila dia mengeluarkan atau mengucapkan bahasa dan memahami bahasa.

Kajian ini menumpukan perhatian kepada proses pemikiran yang berlaku apabila orang menggunakan bahasa. Antara persoalan yang cuba dipastikan ialah soal pengaruh bahasa terhadap pemikiran manusia dan pengaruh pemikiran manusia terhadap perkembangan bahasa.

Ahli antropologi budaya bahasa cuba mengkaji hubungan genetik atau budaya antara bahasa dengan bangsa atau kumpulan etnik yang menggunakan bahasa. Jadi, mereka mahu tahu setakat mana bahasa menandakan jati diri (identiti) bangsa yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa aslinya. Dari sini timbul pula soal `nasionalisme bahasa' yang termasuk dalam kajian sains politik.
Soal yang dikaji ialah peranan bahasa sebagai alat politik. Misalnya, bagaimana bahasa digunakan untuk membangkitkan kesedaran bahawa bahasa penting sebagai pembentuk kesatuan politik yang disebut `negara' atau negara bangsa'.

Sering kali, `politik bahasa' ini menyebabkan sesebuah negara menggubal dasar bahasa atau membuat undang-undang mewajibkan warganegara menggunakan satu-satu bahasa yang dipilih sebagai bahasa rasmi negara itu.

Dasar ini terdapat di kebanyakan negara, terutama di negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan pelbagai bahasa. Contohnya yang terdekat ialah Malaysia, Indonesia, Thailand dan banyak negara lain lagi, termasuk Amerika Syarikat dan seluruh negara Eropah, Jepun, China, Korea, Australia dan New Zealand.

Ada negara yang dasar bahasanya tidak bertulis. Tidak ada akta bahasa. Contohnya, di Britain bahasa rasminya iaitu bahasa yang digunakan dalam semua urusan dan kegiatan sektor swasta ialah bahasa Inggeris. Padahal di Britain terdapat banyak bahasa lain seperti bahasa Scottish, bahasa Wales dan bahasa Irish yang hampir-hampir luput kerana fungsinya di seluruh Britain sangat terhad.

Yang terakhir, bahasa juga menjadi subjek kajian dan renungan ahli falsafah. Soal yang dikaji selalunya bersifat abstrak dan logikal: Bagaimana kita tahu bahawa satu-satu ayat atau perkataan itu, yang disebut `proposisi', benar atau tidak benar. Misalnya, bagaimana kita hendak memastikan dalam minda atau otak kita, bahawa perkataan `meja' benar-benar melambangkan benda yang disebut `meja' itu. Orang yang mengkaji soal semiotik, iaitu kajian tentang `tanda' atau `lambang', juga menanyakan soal yang sama.

Tetapi kaedah yang digunakan tidak sama dengan kaedah yang difikirkan oleh ahli falsafah bahasa. Manakala ahli semiotik menggunakan kaedah hermeneutik, pragmatisme dan sosiologi untuk mengkaji `makna' pada tanda atau lambang atau dalam teks tertentu, ahli falsafah pula lebih mementingkan kaedah logik untuk mengkaji hubungan antara bahasa dengan makna.

Berdasarkan huraian ringkas tentang kepelbagaian minat yang diberi oleh pelbagai ahli dan pemikir (tidak hanya ahli bahasa) terhadap bahasa dan hubungannya dengan manusia, masyarakat, politik, falsafah, budaya, etnisiti, psikologi dan pemikiran, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa bahasa tidak hanya bererti sistem linguistik semata-mata. Sistem linguistik ialah soal nahu atau tatabahasa, istilah, ejaan, sebutan baku dan sebagainya.

Tetapi bahasa mencakupi keseluruhan hidup manusia sebagai alat pemikiran, alat budaya, sebagai sumber kemajuan dan tamadun serta sumber kestabilan masyarakat dan negara. Ia juga sebagai pembentuk keperibadian dan nilai manusia.

Jadi, yang penting bukan hanya bahasa itu sebagai sistem linguistik semata-mata tetapi sebagai sistem nilai. Bahasa Latin masih menjadi sumber peminjaman kata dan istilah baru bagi bahasa-bahasa Eropah, tetapi nilainya sebagai alat penjana tamadun dan pemikiran tinggi dalam zaman moden ini tidak ada lagi.

Salah satu nilai yang perlu ada pada bahasa Melayu ialah nilainya sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

Para pengkaji bahasa, baik ahli bahasa deskriptif, ahli sosiolinguistik, ahli psikolinguistik, ahli budaya (antropologi) bahasa, ahli semiotik, mahupun ahli falsafah bahasa, walaupun mereka menggunakan kaedah kajian yang berlainan, semuanya sepakat tentang bahasa. Menurut pengkaji, bahasa - tidak kira bahasa apa pun - mempunyai keupayaan yang tidak terhad untuk mengungkapkan fikiran bangsa yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa utamanya.

Seperti kata seorang pemikir psikologi atau kognitif bahasa, Steven Pinter (1994), yang mencipta bahasa ialah minda (fikiran) manusia. Jikalau fikiran bangsa atau manusia itu maju, maka akan majulah bahasanya.
Setiap kali manusia berfikir dia mencipta makna dan makna ini boleh disampaikan melalui kata-kata yang sudah ada dalam perbendaharaan kata bahasanya. Atau melalui kata-kata dan istilah baru yang boleh diciptakan, sama ada melalui proses peminjaman atau melalui cara lain, berdasarkan sistem linguistik bahasanya.

Demikianlah caranya bangsa Inggeris misalnya, maju dalam bidang ilmu bukan kerana bahasa Inggeris itu dilahirkan sejak asalnya sebagai bahasa yang memang `sudah maju' dari segi sistem linguistiknya atau dari segi kehadiran peristilahan ilmunya.

Tetapi bangsa mereka maju dalam bidang ilmu kerana dua faktor: Pertama, kerana di kalangan bangsa Inggeris wujud sekumpulan manusia yang kita sebut `ahli fikir' atau `ahli sains' seperti Roger Bacon dan Isaac Newton dalam abad ke-16 dan 17.

Mereka juga memiliki `sasterawan besar' seperti Shakespeare yang berfikir dan menulis dalam bahasa Inggeris, bahasa ibunda mereka. Kedua, bahasa Inggeris asal, iaitu bahasa Anglo-Saxon, tidak mempunyai istilah sains untuk menyatakan konsep dan teori baru.

Oleh itu, para pemikir dan ahli sains Inggeris terpaksa meminjam istilah yang cukup banyak daripada bahasa Latin dan bahasa Greek. Hari ini, tidak ada satu ayat bahasa Inggeris dalam bidang apa pun yang tidak mengandungi istilah pinjaman.

Demikianlah juga proses yang berlaku pada bahasa Melayu sejak abad ke-15, lebih-lebih lagi sejak abad ke-16 dan 17. Para pengarang, pemikir dan sasterawan berbahasa Melayu di rantau ini menghasilkan seberapa banyak karya besar dalam bidang kesusasteraan, ilmu teologi, ilmu metafizik dan tasawuf dan falsafah dalam bahasa Melayu.

Mereka bertembung dengan pelbagai tamadun luar, terutama tamadun Islam, lalu mempelajari `ilmu Islam', meminjam istilah-istilah baru dari bahasa Arab untuk menghasilkan karya-karya yang besar itu dalam bahasa Melayu.

Daya kreatif bahasa Melayu terkenal. Pemikir Melayu sering menggunakan bahasa metafora (bahasa perumpamaan), bahasa kiasan dan bahasa alegorikal untuk menyampaikan isi hati, pandangan hidup dan pemikiran mereka secara padat dan mendalam.

Mereka tidak hanya menggunakan kata-kata yang literal atau leksikal. Tetapi yang penting ditegaskan ialah, bahasa Melayu sudah berkurun-kurun lamanya berfungsi sebagai alat penjana tamadun ilmu dan tamadun budaya tinggi di seluruh rantau ini.

Jadi, kalau hari ini ada orang yang berkata bahawa bahasa Melayu `tidak mampu' menjana tamadun tinggi, tidak mampu menjadi bahasa sains dan bahasa teknologi, saya kira orang itu tidak membaca sejarah bahasa Melayu ini.

Ataupun orang ini sengaja menutup fikirannya terhadap peri pentingnya bahasa ini sebagai alat kemajuan bangsa berbahasa Melayu di rantau ini.

Hari ini terbukti bahawa tradisi yang sudah terbina sejak berkurun lamanya itu dapat disambung semula setelah dasar negara menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Beribu-ribu sarjana dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk antaranya beberapa banyak pakar sains dan perubatan, dari semua kaum terdidik melalui sistem kebangsaan ini.

Jika dasar ini dikekalkan dan diperkukuhkan lagi, pasti nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan terus meningkat dan orang akan terus tertarik untuk mempelajari bahasa ini kerana nilainya.

Yang penting ialah bangsa Melayu harus mengembangkan ilmu dalam bahasanya, baru bahasa kita terus menjadi bahasa yang kreatif dan produktif ilmu. Maksudnya, kita harus terus berfikir dalam bahasa kita sendiri, sebagaimana juga bangsa lain maju dalam bahasa sendiri.

Inilah yang dimaksudkan dengan peranan bahasa sebagai alat pemikiran bangsa. Ini tidak bererti bahawa kita tidak usah mencari ilmu yang ada dalam bahasa-bahasa lain. Ada orang yang menyangka bahawa orang Melayu yang cuba memperjuangkan bahasa Melayu mengamalkan `nasionalisme bahasa' yang sempit.

Kita patut menyedari bahawa orang yang dikatakan menganut faham `nasionalisme' yang sempit ini banyak yang menguasai bahasa Inggeris tinggi.Mereka tidak pernah membenci bahasa asing. Malah merekalah paling ke depan menyokong segala usaha kerajaan untuk meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah kita.

Tidak cukup kalau `martabat' bahasa Melayu di negara ini kekal hanya sebagai bahasa urusan pentadbiran kerajaan sahaja, atau sebagai lingua franca biasa, jika taraf atau nilainya sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan tidak dimajukan terus.
Dan usaha ini tidak hanya mesti bergantung kepada dasar kerajaan. Para pemikir, para sarjana, penulis Melayu sendiri harus melakukan usaha ini dengan lebih gigih dan komited. Dengan usaha itu, tidaklah mustahil suatu ketika nanti, bahasa Melayu boleh menjadi sumber ilmu yang penting di rantau ini.



Muhammad Marwan Mahadzir

 

Isnin, Oktober 01, 2012

Menangani Isu Bahasa Rojak

Menangani Isu Bahasa Rojak







ISTILAH bahasa rojak bukan istilah ilmu. Istilah ini dicipta mereka yang prihatin akan situasi dan nasib bahasa Melayu. Boleh dikatakan isu ini diperkatakan saban tahun di negara kita memandangkan apa yang disaran dan dicadangkan tentang isu ini tidak pernah membawa apa-apa hasil yang diharap-harapkan.

Terbaru, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyarankan agar diwujudkan semula Jawatankuasa Penyelaras dan Penyeragaman Bahasa agar memastikan semua stesen media di negara kita menggunakan bahasa yang sama untuk penonton.

Penyeragaman ini sangat penting memandangkan siaran radio dan televisyen mendapat sambutan ramai di kalangan penonton dan pendengar serta sudah semestinya bahasa memainkan peranan sangat besar untuk menyampai maklumat dan pelbagai lagi. Beberapa kertas kerja mengenai bahasa dibentangkan dalam Seminar Bahasa dalam Penyiaran anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) baru-baru ini yang dihadiri wakil stesen penyiaran tempatan.

Nasib bahasa kebangsaan dianggap membimbangkan ekoran sikap kita yang tidak begitu peka tentang peranan dan masa depan bahasa sendiri.Stesen penyiaran juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah ini kerana ada rancangan membabitkan penyertaan penonton yang kebanyakannya tidak ambil kisah tentang penggunaan bahasa mereka. Penggunaan bahasa rojak yang semakin meluas terutama kiriman ucapan tahniah, selamat pagi dan sebagainya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) oleh penonton menjadikan kita keliru dengan identiti bahasa kita sendiri.


Maka ramai yang merumuskan bahawa identiti bahasa kita semakin terkikis. Lama-kelamaan bahasa rojak dianggap akan menguasai pertuturan, penulisan dan lebih malang dalam penulisan karangan di sekolah sudah dikatakan ada penggunaan bahasa rojak di kalangan pelajar sehingga menjejaskan markah.


 Oleh M Jasni Majed

Sumber:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menanganiisubahasarojak/Article/index_html





Nurasyidah bt Mohd Rasid
PISMP BM/PJ/KH
 

Ad Placement