Kita sering terdengar ayat yang berbunyi `Guru Sebagai Satu Profesion`. Jika dilihat kepada definisi profesion, menurut Kamus Dewan istilah ini merujuk kepada bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran tinggi dan latihan yang khas. Contohnya bidang perundangan, perubatan, perguruan dan lain-lain. Oleh itu, bidang perguruan merupakan pekerjaan yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan khas. Bidang perguruan merupakan perkhidmatan yang penting kepada individu dan negara.
Guru merupakan satu profesion pekerjaan yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan sesebuah negara. Guru dianggap sebagai pekerjaan yang mulia dan sering disangjungi serta dihormati dalam masyarakat. Saya memilih bidang perguruan sebagai pekerjaan saya kerana bukan sahaja kerana minat saya yang mendalam bahkan juga kerana bidang perguruan ini merupakan bidang yang amat mencabar bagi saya.
Jika dilihat dari konteks tugas dan peranan guru, seseorang guru memikul pelbagai beban tugas dan peranan serta cabaran yang memberikan pelbagai pengalaman dan kekuatan mental serta fizikal.Sejak daripada kecil lagi saya menjadikan guru saya sebagai idola dalam kehidupan saya dan selalu mengimpikan untuk menjadi insan seperti guru-guru saya
Guru merupakan agen sosialisasi yang penting dalam masyarakat. Dalam konteks tersebut, guru dianggap sebagai agen yang berpengaruh dalam mendidik murid bukan sahaja berbentuk akademik tetapi juga nilai-nilai murni yang diserap ke dalam diri pelajar untuk menjadikan mereka insan yang berguna dan berjaya. Proses sosialisasi yang diterapkan oleh guru kepada pelajar dianggap dianggap sebagai proses yang berterusan yang mana pembelajaran tersebut sentiasa berlaku dari satu generasi ke satu generasi yang seterusnya. Selain daripada agen sosialisasi, guru juga dianggap sebagai model pembina negara.
Tanggungjawab guru kepada murid antaranya ialah mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar, bersikap adil terhadap semua pelajar, merahsiakan maklumat ikhtisas, menunjukkan sesuatu cara berpakaian, pertuturan, tingkah laku yang baik, dan yang paling penting membimbing atau mengajar seseorang pelajar. Guru bertanggungjawab secara lansung atau tidak lansung dalam pembentukan sesebuah negara. Dalam hal ini, peranan guru adalah sangat penting bagi membentuk jati diri dan sahsiah seseorang muird.
Guru memainkan peranan penting selepas ibubapa dalam usaha melahirkan masyarakat yang membangun, dari aspek fizikal dan rohani. Saya memandang profesion perguruan sebagai sebuah profesion yang paling utama dan berpengaruh keatas kehidupan seseorang individu. Profesion perguruan merupakan satu pekerjaan yang khusus dimana ia dilaksanakan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang cukup bermutu.
Oleh:
Mohd Fahmi Asyraf bin Mohd Nor Azmi