SISTEM EJAAN JAWI
Sistem tulisan dan ejaan Jawi dipengaruhi oleh Bahasa Arab dan Melayu. Unsur Arab dan Melayu mengalami dua tahap perkembangan. Pada tahap pertama, ejaannya menggunakan tanda baris sebagaimana yang terdapat dalam mashaf suci al-Quran. Penggunaan baris ini bertujuan mendapatkan bunyi yang betul tetapi mengambil masa yang lama untuk menulisnya kerana terlalu banyak tanda diakritik yang digunakan. Pada tahap kedua tanda baris tersebut dihilangkan. Walau bagaimanapun, bentuk ini sukar dibaca oleh mereka yang baharu belajar Jawi kerana memerlukan masa untuk menguasai dan menggunakannya. Oleh itu, tidak lama kemudian lahirlah huruf Jawi versi Melayu yang merupakan ejaan yang menggunakan huruf saksi atau huruf vokal, iaitu Alif, Wau dan Ya. Dalam buku William Marsden, A Dictionary of the Malayan language (1812) dan buku R.J. Wilkinson (1903), didapati bahawa terdapat ejaan yang bercampur dari segi pemilihan huruf. Oleh itu, pada tahun 1930-an, muncul ahli-ahli bahasa yang cuba menyusun ejaan Jawi secara berasingan. Antaranya ialah Mejar Dato’ Haji Mohd Said bin Haji Sulaiman daripada Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku-Buku Diraja Johor (P.Bm. P.B. DiRaja Johor) dan Zainal Abidin Wahid atau lebih dikenali dengan panggilan Za’ba daripada Maktab perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim.
Dua usaha penting pada peringkat awal penyempurnaan sistem tulisan dan ejaan Jawi ialah usaha yang dibuat oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Diraja Johor (P. Bm. P. B) yang menerbitkan sistem ejaan Jawi pada tahun 1937, dan usaha yang dibuat oleh Allahyarham Zainal Abidin Bin Ahmad (seterusnya disebut Za'ba) pada tahun 1939. Tulisan Jawi yang terpakai di sektor pendidikan dan dalam pelbagai urusan sejak awal abad ini hingga tahun 1986 ialah Sistem Ejaan Jawi Za'ba (seterusnya disebut Jawi Za'ba) yang diasaskan pada tahun 1939.
Sistem Ejaan P.Bm. P.B. DiRaja Johor disusun dalam bentuk risalah yang berjudul Risalah Bagi Helaian P.Bm. P.B. DiRaja Johor yang mengandungi 25 halaman dan diterbitkan pada tahun 1937 dengan menggunakan huruf Jawi. Sistem ejaan ini agak ringkas dan kata dieja mengikut bagaimana satu-satu suku kata dibunyikan. Kaedah ini juga mewujudkan huruf Alif ke belakang apabila wujud imbuhan pada kata dasar. Dalam panduan ini juga terdapat peraturan ejaan kata dalam bentuk gabungan kata yang digunakan dalam surat rasmi kerajaan Johor dan juga dalam Buku Katan Melayu.
Sistem Ejaan Za’ba pula dilengkapkan pada tahun 1938 dalam sebuah buku berjudul Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi). Sistem ini mempunyai persamaan dengan Sistem Ejaan P.Bm. P.B. DiRaja Johor. Bezanya keterangan yang diberikan agak panjang. Sistem ini juga digunakan oleh guru pelatih di MPSI. Penggunaannya juga kemudian agak meluas dan sebahagiannya digunakan dalam penerbitan Utusan Melayu pada tahun 1939. Sistem ejaan ini diolah semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk melahirkan Sistem Ejaan Jawi yang Disempurnakan. Penyempurnaan sistem ejaan Jawi bertujuan seperti berikut (Ismail Dahman, 1991):
- Untuk mewujudkan satu sistem tulisan dan ejaan Jawi
yang kemaskini yang sekali gus menyelaraskan pelbagai kaedah ejaan Jawi
yang tidak seragam dalam penggunaan (sebelum tahun 1986).
- Untuk memperbaiki atau membetulkan beberapa kelemahan atau
kekurangan yang terdapat dalam sistem ejaan Jawi lama yang sedang
digunakan, iaitu Sistem Ejaan Jawi Za'ba.
- Untuk memodenkan sistem ejaan Jawi (selaras dengan perkembangan ejaan Rumi) supaya dapat diperluas dan dipertingkatkan penggunaannya menjadi wahana penulisan Bahasa Melayu moden, tanpa menghapuskan ciri-ciri khusus sejarah dan budayanya, bagi menghadapi perkembangan bahasa, bangsa dan negara dalam merealisasikan wawasan tahun 2020 dan seterusnya.
Pada tahun 1981, Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia (yang dilantik oleh Y. B. Menteri Pendidikan) telah memperakukan supaya "Sistem Ejaan Jawi yang ada sekarang hendaklah dikaji semula dan diperkemas. Sebuah buku Daftar Ejaan Rumi-Jawi yang lengkap hendaklah diusaha dan diterbitkan dengan segera". Untuk melaksanakan perakuan tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka telah melantik sebuah Jawatankuasa Mengkaji Semula Sistem Ejaan Jawi pada bulan Februari tahun 1983 (seterusnya disebut Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP). Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh pakar-pakar sistem ejaan Jawi yang mewakili Pusat Perkembangan Kurikulum, Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia, dan Pusat-pusat Pengajian Tinggi Tempatan. Bidang tugas jawatankuasa ini ialah membuat kajian semula terhadap Sistem Ejaan Jawi Za'ba (Pelita Bahasa Melayu Penggal I [Permulaan Nahu Melayu] tahun 1941, dan Daftar Ejaan Melayu [Jawi-Rumi] tahun 1949) , Sistem Ejaan Jawi Dian (Majalah Dian) dan sistem ejaan Jawi yang digunakan dalam penerbitan-penerbitan Syarikat Utusan Melayu Sdn. Berhad, serta beberapa penerbitan Jawi yang lain.)
Hasil kajian Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP (1983) itu dibentangkan dalam
Konvensyen Tulisan Jawi (Anjuran Yayasan Islam Terengganu, dan Dewan
Bahasa dan Pustaka) yang diadakan pada 9-11 April 1984 di Terengganu.
Konvensyen ini dihadiri oleh 150 orang pakar tentang ejaan Jawi,
termasuk mereka yang fasih dalam Bahasa Arab dan ahli agama Islam, yang
terdiri daripada wakil-wakil jabatan kerajaan, pusat pengajian tinggi,
institusi dan badan sukarela di seluruh negara, serta beberapa
perwakilan rasmi dari negara Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan
Thailand. Cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP
telah diterima dengan baik oleh peserta konvensyen di Terengganu itu.
Hasilnya telah dirumuskan dan disusun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
dalam tahun 1985, dan diterbitkan pada tahun 1986 dalam bentuk buku
berjudul Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan (seterusnya disebut
PEJYD).
Pada tahun 1987, Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP telah mengadakan pertemuan
dan menerima pandangan daripada beberapa orang pakar serta bersetuju
membuat sedikit pembaikan ke atas rumusan yang terkandung dalam PEJYD
tahun 1986 itu. Kemudian, naskhah pedoman tersebut diperkemas dan
diterbitkan sebagai edisi kedua dengan judul PEJYD yang sama pada tahun
1987.
Pedoman Ejaan Jawi Yang disempurnakan (PEJYD)
Sistem tulisan dan ejaan Jawi yang digunakan sekarang ialah sistem yang termuat dalam buku Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan
yang diterbitkan secara rasmi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun
1986 (edisi kedua. 1987; edisi ketiga, 1993). Sistem ini merupakan
sistem ejaan Jawi yang digunakan, disempurnakan atau dimantapkan
daripada Kedah Ejaan Jawi yang digunakan sebelumnya yang berasaskan
Kaedah Ejaan Jawi Za’ba (sebagaimana yang terdapat dalam buku Daftar Ejaan Melayu Jawi-Rumi, 1949). Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan
(1986) dihasilkan daripada rumusan Konvensyen Tulisan Jawi Peringkat
Kebangsaan yang diadakan pada tahun 1984. Hasil Konvensyen tahun 1984
itu telah diselaraskan dan diperkemas dengan maklumat yang diperoleh
daripada Konvensyen Tulisan Jawi anjuran Pusat Islam, Jabatan Perdana
Menteri, pada tahun 1991 dan Seminar Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan
pada tahun 1993. Semua maklumat tersebut disemak dan disahkan oleh
Jawatankuasa Teknikal Ejaan Jawi Pusat Islam dan Dewan Bahasa dan
Pustaka pada tahun 1993-1994. Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu yang
termuat dalam buku ini merupakan maklumat terkini tentang sistem ejaan
Jawi yang disusun berdasarkan dokumen-dokumen pedoman ejaan Jawi yang
telah diterbitkan oleh DBP, dan maklumat-maklumat pedoman ejaan Jawi
yang diselaraskan selepas itu, khususnya daripada terbitan-terbitan yang
berikut:
- Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Pertama Edisi Ketiga, 1993.
- Daftar Ejaan Rumi-Jawi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Kedua, 1989.
Tulisan Jawi ditulis (dan dibaca) dari kanan ke kiri (seperti
sistem tulisan Bahasa Arab). Sistem tulisan ini tidak mempunyai huruf
besar atau huruf kecil seperti tulisan Rumi, tetapi perubahan bentuk
huruf akan berlaku bagi beberapa huruf tertentu apabila dirangkaikan
dengan huruf yang lain dalam penulisan sesuatu perkataan. Abjad Jawi
Bahasa Melayu sekarang mengandungi 37 huruf bentuk tunggal yang tersusun
seperti di Jadual 6.2.
Jadual 6.2: Abjad Jawi, Bahasa Melayu
Huruf Jawi
|
Nama
|
Padanan Rumi
| |
ﺍ
| alif | a | |
ﺏ
| ba | b | |
ﺕ
| ta | t | |
ة
| ta marbutah | t/h | |
ﺙ
| sa [tha] | s, (th) | |
ﺝ
| jim | j | |
ﭺ
| ca | c | |
ﺡ
| a],ha [h | ),h, (h | |
ﺥ
| kha [khO] | kh | |
د
| dal | d | |
ﺫ
| zal [dhal] | z, (dh) | |
ﺭ
| ra [rO] | r | |
ﺯ
| zai | z | |
ﺱ
| sin | s | |
ﺵ
| syin | sy, (sh) | |
ﺹ
| Od],sad [s | ),s, (s | |
ﺽ
| Od],dad [d | ),d, (d | |
ﻁ
| O],ta [t | ),t, (t | |
ﻅ
| O],za [z | ),z, (z | |
ﻉ
| ain [ain] | awal: a, i, u akhir: k, (‘) | |
ﻍ
| ghain | gh | |
ڠ
| nga | ng | |
ﻑ
| fa | f | |
ﭪ
| pa | P | |
ﻕ
| qaf | k, q, (q) | |
ﻙ
| kaf | k | |
ڬ
| ga | g | |
ﻝ
| lam | l | |
ﻡ
| mim | m | |
ﻥ
| nun | n | |
ﻭ
| wau | w, u, o | |
ۏ
| va | v | |
ﻩ
| ha | h | |
ء
| hamzah | awal: gugur akhir: k, (’) | |
ﻱ
| ya | y, i, e taling | |
ى
| ye [ye] | e pepet akhir | |
ڽ
| ny | ny |
Dipetik daripada http://www.karyanet.com.my/knetbeta/dbp_jawi/pengenalan/3-01_latarbelakang.htm pada 10 Julai 2008.
Catatan 1: Huruf di dalam tanda kurung ialah padanan untuk transliterasi huruf Arab kepada huruf Rumi dan padanan untuk mengeja istilah khusus daripada Bahasa Arab.
Catatan 2: Huruf 3 (ta marbutah) disepadankan dengan huruf Rumi h dan t; dan t bagi padanan transliterasi.
Siti Normazilla Mah Hussin
PISMP BM Sem 6. ( Ambilan Jan 2010 )