Menurut Kementerian Pelajaran (1983 : 27), strategi pengajaran dan pembelajaran yang disarankan adalah untuk membina dan mengukuhkan minat murid-murid terhadap pembelajaran serta membimbing mereka supaya bersedia menerima pelajaran seterusnya dan berupaya pula meneruskannya sendiri. Mengikut strategi ini, setiap murid akan mengambil bahagian secara aktif di dalam pelbagai kegiatan meliputi pelbagai unsur daripada komponen-komponen kemahiran asas, kerohanian, nilai dan sikap, kemanusiaan, dan persekitaran serta kesenian dan rekreasi.
Teknik pengajaran yang digunakan seharusnya sesuai dengan perkembangan diri dan kebolehan murid-murid supaya pembelajaran itu adalah menarik, berkesan, dan bermakna. Dalam menggunakan teknik-teknik yang sedemikian, guru-guru digalakkan menjalankan pelbagai kegiatan dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai mengikut kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat murid-murid.
Satu strategi yang telah disarankan untuk mencapai taraf pencapaian murid yang maksimum ialah penggabungjalinan. Strategi ini memainkan peranan penting dalam proses pengajran dan pembelajaran. Melalui proses penggabungjalinan ini beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak dan cara ini juga dapat mengelakkan rasa bosan dalam proses pembelajaran. Kemahiran-kemahiran boleh digabungjalinkan sama ada kemahiran-kemahiran yang terdapat dalam satu mata pelajaran atau kemahiran-kemahiran daripada satu mata pelajaran yang digabungjalinkan dengan lain-lain mata pelajaran.
Bahan-bahan program bahasa diambil daripada bidang Kemanusiaan dan Persekitaran. Unsur-unsur daripada mata pelajaran seperti sains, geografi, sejarah, sivik, kesihatan, seni lukis, dan lain-lain ilmu pengetahuan telah diserapkan menjadi satu mata pelajaran yang diberi nama Alam dan Manusia.
Dalam kurikulum baru sekolah rendah, perkara yang ditekankan adalah kepada kemahiran asas. Untuk mencapai kemahiran asas dengan lebih berkesan dan untuk mendapatkan isi ilmu pengetahuan secara tidak langsung melalui kemahiran-kemahiran itu, maka sesuatu pelajaran itu haruslah disampaikan secara terpadu. Dengan berdasarkan program terpadu ini satu pengajaran melalui aktiviti yang menarik dan bermakna dapat diciptakan.
Program terpadu mengandungi 2 strategi, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan. Program ini bertujuan :
- membolehkan murid-murid menguasai beberapa kemahiran serentak dengan lebih bermakna.
- mengelakkan rasa bosan dan menimbulkan suasana yang lebih menarik.
- menimbulkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan.
- kemahiran-kemahiran saling memperkukuh.