ISU bahasa muncul lagi. Kali ini mengenai Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang menjadi kegemaran pemilik telefon bimbit menghantar pelbagai pesanan, maklumat kepada rakan dan sebagainya. Di samping itu, pengguna Facebook dan Twitter juga tidak terkecuali menggunakan bahasa ringkas ketika berkomunikasi dengan rakan. Isu mengenai SMS bukan baru kerana pada 2003 lagi pencapaian kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ketika itu dikaitkan dengan penggunaan simbol, kod dan kata singkatan tertentu oleh pelajar.
Ketika itu didapati sudah ramai calon peperiksaan yang menggunakan kata singkatan dalam esei mereka seperti yang dilakukan ketika bersembang atau menggunakan khidmat SMS. Kesannya ramai dianggap gagal menguasai kedua-dua subjek bahasa tersebut sehingga menjejaskan keputusan mereka dalam kedua-dua kertas berkenaan.
Kita tidak nafikan pada masa ini ramai antara pelajar yang memiliki telefon bimbit. Meskipun mereka dilarang membawa ke sekolah tetapi mereka tetap mempunyai telefon bimbit kerana syarikat telekomunikasi sekarang pintar menarik minat pelbagai golongan untuk memiliki kemudahan itu yang bukan hanya untuk berkomunikasi tetapi juga untuk mengambil gambar dan sebagainya.
Maka tidak hairanlah salah satu cara berkomunikasi golongan remaja atau pelajar sekolah sesama rakan ialah dengan menghantar SMS kerana dianggap lebih murah dan jimat berbanding membuat panggilan biasa. Kadang-kadang menjadi kegilaan pula bagi mereka berbalas-balas SMS sehingga hendak tanya tujuh belas darab tiga pun guna SMS.
Penularan bahasa SMS di kalangan remaja ada kaitan dengan pertambahan jumlah pelajar yang memiliki telefon bimbit. Harga telefon bimbit yang semakin murah kerana ia kini menjadi satu keperluan turut menjadi penyumbang kepada perkembangan bahasa SMS.
Malangnya, keasyikan menggunakan bahasa SMS ini terbawa-bawa pula ke dalam jawapan bagi kertas peperiksaan di sekolah sehingga guru-guru yang memeriksanya tidak tahu maksud kod dan kata singkatan seperti yang digunakan dalam khidmat SMS tersebut.
Malah, pensyarah pusat pengajian tinggi juga mendapati ada penuntut terbiasa dengan kata singkatan telah memasukkan kata singkatan berkenaan dalam tesis mereka. Inilah antara kesan negatif penggunaan kata singkatan yang seakan-akan sudah menjadi sinonim dengan golongan pelajar dan remaja masa ini. Jika tabiat ini menjadi amalan, pelbagai pihak bimbang terhadap pencapaian pelajar dalam beberapa subjek terutamanya berkaitan bahasa.
Di samping itu, semua sudah sedia maklum bahawa penggunaan bahasa rojak akan lebih meluas di kalangan masyarakat dan jika dibiarkan, suatu masa nanti boleh memburukkan lagi imej dan kedudukan bahasa kebangsaan. Kemerosotan penguasaan bahasa Melayu juga turut dikaitkan dengan penggunaan bahasa SMS.
Suatu ketika dulu, Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Awang Sariyan berkata, singkatan perkataan, angka atau kod dan lambang menjadi pilihan penghantar SMS kerana ruang yang disediakan terhad. Oleh itu, lama-kelamaan SMS menjadi alat penghubung yang difahami, mudah, padat dan menjimatkan.
Hubungan yang dilakukan antara dua pihak dengan khidmat SMS dan apabila kedua-dua pihak memahami apa yang tercatat di telefon bimbit masing-masing sudah membuktikan bahawa hubungan tersebut sudah berjaya, tidak kira dalam bentuk apa sekalipun. Maka oleh sebab itu, SMS sudah menjadi ruang sembang yang popular dan tidak mustahil pelbagai kata singkatan, lambang dan kod baru akan muncul dari semasa ke semasa.
Kebiasaan menggunakan gaya bahasa dalam SMS sudah semestinya terbawa-bawa ke dalam urusan rasmi jika tidak dikawal. Yang memburukkan keadaan, apabila pelajar menjadikan bahasa dalam SMS untuk tujuan penulisan, bererti ternyata bahawa ia sudah disalahgunakan. Menghalang bahasa ringkas menular dalam urusan harian bukanlah mudah. Dalam percakapan harian pun kita sudah menggunakan sinkope, bahasa basahan dan sebagainya yang telah sedikit-sebanyak mencalarkan imej bahasa ibunda.
Jika dalam tulisan, penggunaan kata-kata tersebut akan lebih nampak kecacatannya kerana tulisan dipersembahkan dalam bentuk kekal, tidak seperti percakapan kecuali percakapan yang dirakamkan. Dalam percakapan atau pertuturan pula, kita hanya dibebani dengan masalah bahasa tidak baku, bahasa rojak, sinkope, neka bahasa remaja dan bahasa basahan. Tetapi dalam tulisan masalahnya lebih rumit kerana wujud kod atau angka dan lambang.
Oleh itu, kita sering melihat kata-kata singkatan menerusi khidmat SMS seperti ‘x’ (tidak) ; ‘4’ (untuk atau for); ‘cmna’ (macam mana); ‘u’ (awak); ‘g’ (pergi) ‘tq’ (terima kasih). Malah, terdapat pelbagai kod atau lambang yang selalu digunakan oleh golongan tertentu untuk berhubung dengan rakan yang difahami oleh golongan tertentu saja. Usaha untuk membendung gejala kata singkatan dalam SMS tidak boleh dilakukan kerana penggunaan SMS sebagai alat perhubungan tidak menjejaskan pemahaman antara kedua-dua belah pihak.
Bagaimanapun, untuk mengelak daripada berleluasanya penggunaan kata singkatan dalam SMS supaya tidak merebak dalam urusan rasmi, pelbagai ikhtiar perlu dilakukan. Adalah menjadi tugas guru di sekolah memastikan penggunaan kata singkatan tidak digunakan oleh pelajar dalam semua subjek terutamanya berkaitan bahasa. Guru juga mestilah menggalakkan pelajar supaya tidak menggunakan kata singkatan ketika mengambil nota dalam setiap subjek yang diajar. Dengan cara ini akan dapat mengurangkan kebiasaan daripada menggunakan kata singkatan supaya tidak terbawa-bawa dalam penulisan berbentuk rasmi.
Media elektronik pula mestilah menapis setiap ucapan berbentuk SMS daripada orang ramai yang dipaparkan di televisyen supaya kata-kata singkatan yang digunakan oleh golongan remaja tidak menjadi ikutan pula oleh golongan lain. Oleh sebab media elektronik besar pengaruhnya dibimbangi pengaruhnya akan cepat menular dan menjadi ikutan orang ramai.
Di samping itu, apa yang penting adalah sikap dan kesedaran kita dalam bahasa sangat penting demi menentu hala tuju bahasa kita pada masa akan datang. Golongan remaja tidak boleh memandang remeh bahasa sendiri. Mereka perlu memikul tanggungjawab memartabatkan bahasa sendiri kerana bahasa itu identiti sesuatu bangsa.

Golongan pelajar yang menggunakan khidmat SMS untuk berhubung dengan rakan-rakan janganlah terlalu memikirkan ruang dan penjimatan wang sehingga membelakangkan bahasa apatah lagi menggadaikan masa depan mereka. Jika kata-kata singkatan digunakan dalam peperiksaan oleh sebab terbiasa dengan bahasa SMS, mereka sebenarnya bukan hanya perlu memikirkan dengan mendalam mengenai nasib bahasa tetapi nasib mereka sendiri.
2 Comments
Saya bersetuju dengan apa yang dinyatakan. Oleh itu, kita sebagai pencinta bahasa Melayu perlu mengelakkan penggunaan bahasa sms dalam penulisan. Tahniah atas kiriman bahan penulisan. namun nama sebenar tidak disertakan
Pengirim:
Siti Husna binti Mohd Basir
(sapphire-blue)