Rabu, Oktober 12, 2011

Bahasa Jiwa Bangsa

Asas keterampilan sesuatu bangsa dapat digambarkan melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada hari ini, banyak Negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat Negara Perancis, German, Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi masyarakat di seantero dunia. Budi bahasa budaya kita, inilah antara ungkapan yang menggambarkan peri pentingnya kita sebagai penutur bahasa melayu tanpa mengambil  kira latar belakang bangsa di tanah air yang tercinta ini menjadi masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat yang beradab.

Bahasa yang kita tuturkan berupaya menggambarkan sahsiah kita. Kesantunan berbahasa yang kita perjuangkan dalam kalangan masyarakat penuturnya telah mengangkat martabat masyarakat di Negara kita sebagai masyarakat yang peramah, bersopan santun, berbudi pekerti mulia dan berbudi bahasa. Kita kagumi oleh masyarakat di seantero dunia kerana perpaduan jitu dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Tanpa melihat kepada perbezaan bangsa iaitu sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau dan lain-lain lagi, kita menggunakan bahasa yang satu, iaitu bahasa Melayu tanpa prejudis. Bahasa Melayu berupaya menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri terutamanya kita diberi jolokan oleh masyarakat dunia sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, ramah dan melayan tetamu dengan sopan. Pantun Melayu ada mengungkapkan yang berbunyi :

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa.
Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dalam pergaulan terutamanya daripada aspek pertuturan. Gurindam Melayu juga ada mengingatkan kita akan peri pentingnya kita berswadaya mengekalkan kesantunan dalam berbahasa. Antara lainya berbunyi:

Kalau cakap tidak cermat,
Tentu kamu tidak selamat,
Kalau cakap tidak cermat, Kalau kelakuan tidak hormat, Tentu hidup tidak selamat.
Hal yang demikian juga digambarkan melalui sebahagian daripada seni kata lagu Allaryarham Tan Sri P.Ramlee iaitu:

Tiada kata secantik bahasa,
Nak kucurahkan rasa,
Tiada gambar seindah lukisan, Nak kutunjukkan perasaan. Tiada bahasa secantik puisi, Nak kucurahkan isi hati
Oleh itu, gunakanlah bahasa yang santun, buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun, kaya dengan berbudi bahasa dan memiliki minda kelas pertama. 
Sumber maklumat : Berita Harian
 

Ad Placement