Rabu, Ogos 10, 2011

Variasi Bahasa dan bahasa Baku

Bahasa ialah kepunyaan masyarakat yang menuturkannya. Makin besar jumlah penuturnya, makin luas daerah penyebaran bahasa itu, dan makin banyak pula perbezaan yang wujud dari segi penggunaannya. Demikian juga halnya dengan bahasa Melayu. Dalam rangka Malaysia, di Semenanjung Tanah Melayu sahaja sudah terdapat berbagai-bagai dialek, seperti dialek Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor. Demikian juga terdapat variasi-variasi bahasa Melayu yang wujud oleh sebab faktor-faktor sosial, seperti latar belakang pendidikan, jenis pekerjaan, dan kedudukan sosioekonomi penutur yang berbeza-beza.

Hakikat bahasa dan variasi-variasinya sudah lama diakui oleh ahli-ahli bahasa. Namun apabila mereka merujuk sesuatu bahasa tertentu, misalnya bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, mereka mempunyai gambaran tentang satu kesatuan bahasa, yang walaupun mempunyai berbagai-bagai kelainan, masih terdiri daripada satu keseluruhan. Daripada beberapa variasi satu bahasa, satu variasi tertentu dipilih sebagai mewakili bahasa tersebut dan variasi inilah yang menjadi ukuran apabila kita merujuk sifat umum bahasa tersebut. Dalam bidang ilmu bahasa, variasi yang dipilih untuk mewakili satu bahasa secara menyeluruh itu disebut bahasa standard atau bahasa baku.

Bahasa Melayu baku ialah variasi yang digunakan apabila orang-orang daripada berbagai-bagai dialek di negara ini berkumpul dan berbincang. Dengan tujuan untuk difahami, tiap-tiap pihak berusaha menggugurkan ciri-ciri kedaerahan masing-masing dan menggunakan sedikit sebanyak variasi yang bersifat bahasa Melayu umum, yang dari segi sejarahnya berasaskan dialek bahasa Melayu Johor Riau. Variasi ini, yang sekarang dikenal sebagai bahasa Melayu baku, ialah variasi yang digunakan dalam sistem pendidikan (bahasa sekolah), dalam semua situasi rasmi seperti dalam ucapan-ucapan, mesyuarat dan persidangan dan dalam media massa.

Oleh:
Nurul Nazwa bin Osman
 

Ad Placement